Pantun Memiliki Peranya Tersendiri Dalam Masyarakat Melayu

 

Penulis : Reki Riyanto

PANTUN MELAYU

Nilai jati diri dalam kalangan masyarakat Melayu boleh diterapkan melalui nilai pengajaran dan faedah yang terdapat di dalam sastera Melayu tradisi. Dalam kelompok kesusasteraan Melayu tradisional, pantun merupakan wadah sastera berbentuk lisan yang disampaikan secara turun temurun daripada satu generasi kepada generasi yang berikutnya. Bentuk lisan ini juga dikenali sebagai sastera rakyat.

Ia juga terbahagi kepada dua jenis iaitu berbentuk cerita dan bukan cerita. Pantun, peribahasa, teromba, mantera, zikir, gurindam dan lain-lain adalah sastera lisan di bawah kategori bukan cerita. Keindahan pantun bukan sahaja terletak pada pilihan kata serta kalimatnya yang berima, tetapi terkandung di dalamnya makna dan falsafah yang sangat baik mewakili pancaran pemikiran masyarakat tradisi dahulu.

Terdapat banyak pantun yang terakam di dalamnya tunjuk ajar, atau nasihat dan berkaitan tentang cara hidup beragama, bermasyarakat, dan berkeluarga.Pantun ialah sejenis puisi yang terikat, umumnya terdiri daripada empat baris serangkap, mempunyai rima akhir a-b-a-b. Setiap rangkap mempunyai pembayang dan maksud. Pantun boleh menjadi dua baris, empat baris, enam baris, dua belas baris dan seterusnya pantun berkait.

Pantun mempunyai peranannya yang tersendiri dalam masyarakat Melayu, antara peranan pantun menurut

A. Halim Ali et al. (2011: 189) ialah:

1. Alat untuk mendapat gambaran masyarakat, terutamanya sebagai gambaran minda dan

pemikiran masyarakt Melayu, pandangan hidup, harapan, dan cita-cita.

2. Alat untuk menguji ketajaman minda dan kehalusan perasaan. Sebagai contoh pantun teka-teki,

pantun peribahasa dan lain-lain.

3. Diperguna juga dalam kegiatan seni, keagamaan dan adat istiadat.

4. Digunakan untuk pendidikan sama ada untuk menyindir, kiasan atau berterus

terang.

5. Alat untuk hiburan dan bahan untuk jenaka seperti pantun jenaka, pantun

permainan dan lain-lain.

6. Alat untuk berkomunikasi untuk menyampaikan isi hati.

Sebagai contoh sanjungan, pemujaan dan ucapan selamat kepada seseorang dalam majlis upacara atau majlis rasmi.

Berdasarkan fungsi pantun di atas maka pantun mempunyai peranan yang tersendiri dalam memberikan pengaruh nilai yang baik dalam kehidupan masyarakat tradisi. Fenomena berpantun dalam kalangan masyarakat tradisi amat penting kerana ia berhubung kait dengan pancaran akal budi pemikiran masyarakat pada masa itu disamping memberi hiburan dan didaktik atau pengajaran kepada khalayak.

Keindahan dalam pantun terdiri daripada dua aspek iaitu keindahan luaran (aspek stailistik) yang merujuk kepada penggunaan gaya bahasa, intonasi suara, penggunaan bahasa yang bersukat, berirama dan berentak.

Manakala keindahan dalaman pantun dilihat daripada isi kandungan (content) yang mempunyai unsur-unsur emotif dan sebagainya. Sejauh mana keupayaan teknik ini menimbulkan kesan keindahan bunyi yang mengasyikkan.

Keindahan yang menyentuh deria dengar. Ia meninggalkan bunyi merdu dan seronok didengar oleh khalayak. Bunyi suku kata dalam pantun dapat melalaikan dan melekakan khalayak yang mendengarnya. Terdapatnya ungkapan bahasa yang indah dan teratur bersesuaian dengan maksud yang hendak disampaikannya.

Pemakaian bahasa yang pelbagai menunjukkan kebijaksanaan dan kekreatifan orang Melayu tradisi. Pantun ialah dunia yang dibina oleh kata-kata. Keberkesanan penyampaiannya bergantung kepada keupayaan memanipulasi aspek bahasa agar ia menjadi sebuah wacana yang penuh dengan wadah dan pemikiran.

Nilai boleh difahami sebagai ukuran yang diberikan oleh individu tentang sesuatu atau perlakuan, baik atau buruk, halus atau kasar, tinggi atau rendah, dan cantik atau tidak berasaskan kepada kelaziman atau kebiasaan dalam sesuatu masyarakat. Anggota masyarakat dapat menyatakan ukuran nilai dalam menentukan sesuatu atau perlakuan berasaskan kepada pengalaman yang diterimanya melalui proses sosialisasi. Nilai dipupuk secara berpanjangan dalam proses sosialisasi individu.

Dalam memupuk nilai itu masyarakat menyediakan berbagai-bagai saluran, seperti keluarga, rakan-rakan sebaya, pendidikan dan kelompok masyarakat. Walau bagaimanapun, nilainilai sosial yang dipupuk dalam masyarakat itu mempunyai kepentingan dan keperluan yang berupa secara bersama.

Nilai dalam pantun Melayu adalah dikongsi bersama masyarakat. Sejajar dengan dunia pantun Melayu yang berada di bawah lingkungan dunia partisipatoris (penyertaan) dan dunia kolektif (collective) yang bermaksud pantun adalah hak milik bersama masyarakat. Ia boleh dituturkan oleh sesiapa sahaja dan tidak bersifat kepunyaan. Dalam pemupukan nilai yang ada dalam pantun, ia menjadi sudut pandangan masyarakat yang membinanya berteraskan adat dan agama. Jati diri Melayu berasaskan bendungan kawalan sosial yang tertakluk dalam dunia kolektif masyarakat Melayu tradisi.

Contohnya, berkaitan dengan nilai adab. Dalam pantun Melayu banyak diujarkan tentang nilai adab yang perlu dipatuhi oleh masyarakat dan wujudnya pengajaran kepada masyarakat sekiranya sesuatu adab itu tidak dipatuhi. Ia mungkin akan dikenakan tekanan sosial oleh masyarakat, agama dan sistem adat itu sendiri. Maka, nilai yang baik dalam pantun Melayu boleh membentuk jati diri orang Melayu untuk menjadi lebih beradab dan baik.

Contoh pantun tentang adab:

Kalau bertanak dengan menggulai

Mengacau gulai pecah isinya 

Kalau gelak nak jangan mengilai 

Biar Kalau mengilai rendah budinya.

 

Orang mencabut cendawan 

Kita mencabut padi kan mati 

Biar orang berebut bangsawan 

Kita berebut budi pekerti.

Contoh pantun di atas ialah mengenai adab dan perilaku seseorang supaya tidak ketawa

dengan kuat sehingga mengilai, ia memberi gambaran tentang adab yang tidak baik dan wajar dihindari. Ia bersesuaian dengan agama Islam yang melarang kita daripada sifat riak, sombong dantakabur.

Sikap ketawa dengan sekuat hati dan mengilai yang digambarkan boleh menyebabkan seseorang itu mudah menjadi sombong dan riak sehingga harga dirinya menjadi rendah pada pandangan masyarakat di sekelilingnya.

Konklusinya, nilai keindahan dan pengajaran yang terdapat dalam pantun Melayu menjadi suatu wadah sumber hiburan dan pemikiran masyarakat Melayu tradisi.

Pemupukan nilai jati diri dalam pantun Melayu contohnya nilai “malu” dan “budi bahasa” dapat menunjukkan perilaku tentang cara bagaimana masyarakat Melayu beradab walaupun merentasi zaman. Walaupun pantun penuh dengan sumber hiburan yang dapat menancap mata indera namun ia juga penuh dengan sumber sfera faedah yang terkandung di dalamnya unsur-unsur didaktik dan pengajaran kepada khalayak pendengar.

Justeru orientasi nilai jati diri dalam pantun Melayu adalah terdiri daripada adat dan Islam sebagai sumber nilai, dan kedua hidup beragama, bermasyarakat dan berkeluarga yang melingkungi masyarakat Melayu tradisi dan dibendungi oleh sistem konvensional yang menuntut masyarakat tradisi patuh kepada norma- norma yang baik dalam masyarakat.

Maka kepatuhan kepada nilai yang ada dalam tradisi menjadikan nilai jati diri masyarakat Melayu masih utuh sehingga kini terutamanya dalam mendidik anak-anak kecil sehingga remaja. Nilai yang baik yang terkandung di dalam pantun Melayu boleh menjadikan masyarakat Melayu berbudi pekerti mulia dan mempunyai jati diri yang kukuh merentasi masa, benua dan zaman.

Maka, berdasarkan kepada sfera indah dan sfera faedah, pantun dilihat memainkan peranan yang besar dalam pemupukan nilai jati diri dalam masyarakat Melayu. Pantun yang baik adalah pantun yang dapat memberikan nilai didaktik dan bukanlah hiburan semata-mata sahaja. (***)

Leave a Reply